[VIDEO] PRK Ayer Kuning: Calon PN nasihat pengundi keluar awal

TAPAH - Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu.

Beliau mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Kuning, salah satu daripada 19 pusat mengundi yang dibuka bagi PRK berkenaan.

Abd Muhaimin, 44, tiba di pusat mengundi tersebut sekitar jam 8.20 pagi, diiringi isteri, Rabiah Abdul Aziz, 44; bapanya, Malek Mohammad,71, dan ibunya Salmah Ab Latiff, 66, yang turut mengundi di pusat mengundi sama.

Beberapa pimpinan parti termasuk Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Mohd Akmal Kamarudin; Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki dan Ahli Parlimen Parit Muhammad Ismi Mat Taib turut hadir mengiringi calon.

Abd Muhaimin yang ditemui berpuas hati dengan proses pengundian yang dijalankan dan berterima kasih kepada petugas di pusat mengundi tersebut.

**media[3100705]**

Beliau juga menasihati pengundi agar keluar awal dan tindak menunggu di saat akhir.

"Alhamdulillah, proses pengundian berjalan dengan baik, kerjasama yang diberikan oleh pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) amat memuaskan

"Saya menasihatkan pengundi keluar lebih awal, jaga kesihatan, yang sihat bantu yang sakit, yang bertenaga bantu yang tak bertenaga bawa mereka keluar mengundi," katanya kepada pemberita selepas mengundi.

SK Ayer Kuning mempunyai empat saluran peti undi dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 2,321